Dewi - 6

         SEPI... Panggilan telefonnya masih tidak dijawab. Ke mana perginya Kak Long? Abang Long tentunya di tempat kerja. Emak ! Di mana pula emak berada? Sihatkah Emak ? Namun yang paling penting padanya...Zulastri. Hati mendesak untuk bercakap dengan lelaki itu, pastinya Zulastri sedang merajuk atau berkecil hati...tapi di manakah dia.
         Hampir saja dia berputus asa. Kali kedua dia mendail nombor telefon rumahnya tapi masih tidak berjawab juga. Mujur juga panggilan untuk kali yang ketiga, gagang di sebelah sana sudah diangkat.
          “Assalamulaikum.”
          Wajahnya Dewi Karmila berubah ceria. Suara itu yang diharapkannya.
         “Waalaikumussalam. Adi ! Kau sihat ?”
         “Aku alhamdulillah, masih sihat walafiat.”
         “Adi.. minta maaf ya. Aku terlupa.. mungkin bukan aku orang pertama yang mengucapkannya seperti selalu. Happy birthday Zul.”
          Sepi.. lelaki itu menyepikan diri.
          “Zul ! Kau marah aku.”
          “Aku tahu kau sibuk.. banyak kerja tapi takkan kau lupakan aku.”
          “Zul ! Aku sendiri tak teringat pasal hari ni, kalau kawan-kawan aku tak buat kejutan, sampai ke malam aku tak sedar.”
          “Kau sambut birthday kau.” Ceria nasa suara Zul hadi.
          “Dia orang yang buat, aku tak tahu apa-apa.”
          “Seronokkan jadi kau.. semua orang ingat birthday kau tapi aku ni.”
          “Zul ! Aku balik hujung minggu, kita celebrate sama-sama. Kau nak ke mana, nanti boleh aku bawa kau jalan-jalan.”
          “Tempat aku di sini Dewi, bukan di luar sana.”
          Ada keluhan yang dilepaskan. Lelaki itu tetap sama, seperti selalu, suka mengasingkan diri.
          “Sekali-sekali kau kena keluar.. cubalah ajak Abang Long dan Emak.”
          “Dunia aku cuma di rumah ni.”
          “Zul ! Aku balik hujung minggu ni.. jangan nak kunci diri dalam bilik. Hmm.. Kau nak apa-apa, nanti aku belikan.”
          “Tak payahlah.. kau balik pun dah cukup. Dah dua tiga hari aku asyik mimpikan kau.”
          “Aku pun, pagi tadi kau sakit perut ya.”
          Tawa Zulastri menampar telinganya.
          “Apasal, kau pun berlari ke bilik air ke ?”
          “Ha..ah, penat aku menunggu, apa pun tarak.”
          Kedua-duanya ketawa serentak, hilang rasa rindunya pada Zulastri. Ikutkan hati mahu saja dia terbang ke daerah kelahiran saat itu juga.
         “Zul! Aku tanya betul-betul ni, kau nak apa-apa tak ?”
        “Tak payah.. aku cuma nak kau balik. Dengan mak dan Abang Long, aku mati kutu, tak tau nak cakap apa, tapi dengan kau, macam-macam idea yang datang.”
         Dewi Karmila tersenyum.
         “Okey.. kau tunggu aku balik ke sana.”
         “Dewi ! belikan aku vcd player boleh..”
         “Itu permintaan ?”
         “Kalau tak keberatan.. bosan aku, siaran tv sekarang tak ada yang menarik.”
         “Okey.. Aku belikan nanti.”
         “Kau nak brand apa ?”
         “Ikut suka kau.. duit kau, bukan duit aku.”
         “Ada apa-apa lagi yang kau nak ?”
         “Kalau dah beli vcd palayer tu, belilah vcd sekali.. apa aku nak tengok kalau tak ada vcd.”
         Dewi Karmila tertawa kecil.
         “Okey... nanti aku beli.”
         “Dewi! Aku menyusahkan kau ”
         “Siapa kata ?”
         “Aku bertanya .”
         “Tidak.. sama sekali tidak. Kau adalah aku.. dalam diri kau ada aku dan dalam diri aku ada kau. Kita sama aja cuma bezanya kau lelaki aku perempuan.”
          Dewi karmila ketawa lagi.. tawa yang disambut oleh suara Zulastri di seberang sana, terhibur hatinya. Tawa Zulastri memhilangkan rasa rindu yang bertapa di dalam hati.
         Terhenti langkah Rizuan di muka pintu. Daun pintu tidak tertutup rapat, telinganyna mendengar perbualan Dewi Karmila dengan seseorang. Zul.. itu nama yang disebut dan Dewi Karmila ketawa senang hati. Siapakah Zul ? Kekasih atau cuma kawan biasa. Mungkin juga kekasih, lantas luahan hati Sofian ditolak mentah-mentah.
          “Hey Juan !”
          Rizuan tersentak.
          Dewi Karmila memandang tepat ke wajahnya, tersenyum-senyum dia sendiri, dia mencuri dengar perbualan Dewi Karmila.
          “Kau pasang telinga ya.”
         Rizuan masih tersenyum, diatur langkahnya masuk ke dalam bilik pejabat Dewi Karmila. Daun pintu dibiarkan terbuka sedikit. Hadiah yang dibawa masih di dalam beg kertas di tangannya, akan diserahkan pada pemiliknya sebentar nanti.
         “Berbual dengan siapa ?”
         Dewi Karmila hanya tersenyum, dilirik ke arah Rizuan yang masih merenung wajahnya. Sesiapa sahaja yang mendengar bicaranya dengan Zulastri sebentar tadi pasti akan tersalah mengerto. Zulastri bukan kekasih hati.. tapi seorang lelaki yang amat bermakna dalam hidupnya. Sakit Zulastri, sakitlah dia...deman Zulastri, demamlah dia.
          “Aku nak balik kampung hujung minggu ni.”
          “Bercuti ! Berapa hari ?” Ada resah datang bertandang, mengusik hatinya. Lamakah Dewi Karmila bercuti ? Kerinduanlah dia nanti. Tidak ada teman yang hendak diajak berbual dan bergurau.
           “Hari jumaat. Aku balik lepas office, sambung sampai isnin.”
           “Naik apa ?”
           “Itu yang aku tengah fikir ni. Aku tak nak balik dengan Kelisa aku tu.”
           “Naik flight.”
           Dewi Karmila menggeleng.
          “Aku nak bawa barang.”
          “Banyak ?”
          “Dari sini tak banyak.. tapi bila di sana nanti, aku perlukan kereta yang lebih besar. “
          Tiba-tiba Rizuan ketawa, ada perkara yang melucukan menerjah mindanya.
          “Kenapa ketawa ?”
          “Kau nak pergi meminang ke ?”
          Bulat mata Dewi Karmila menjilat keseluruhan wajah Rizuan. Ada ke Aku dikata hendak meminang... siapa yang hendak dipinang. Masakan untuk Zulastri yang saban hari terperap di dalam biliknya.. membaca, tidur, melukis.. itu saja kerjanya.
          “Boleh tolong tak ? Aku nak sewa kereta tapi tak tau di mana.” Agak keras nada suara Dewi Karmila. Geram pula rasanya apabila Rizuan mentertawakannya.
           Terhanggung-hangguk lelaki itu sambil menahan senyum.
           “Bila kau nak ?”
           “Hari jumaat.”
           “Okey.. aku usahakan.”
           “Aku nak sewa tau, bukan nak pinjam. Kau nak duit sekarang ? Sure kena bayar dulu kan.”
           Rizuan menggeleng. Dia sudah tahu di mana hendak dicari kereta besar seperti yang dimaksudkan oleh Dewi Karmila.
           “Satu lagi.. nak minta tolong.”
           “Minta tolong... kena bagi upah tau.”
           Dewi Karmila tersenyum..
          “Okey, aku belanja kau dinner malam ni.”
          Rizuan tergelak kecil.
          “Aku tak nak dinner.. aku nak kau cium aku.”
          Bulat mata Dewi Karmila merenung wajah Rizuan yang ketawa kesukaan.
          “Tak nak tolong sudah,” marah Dewi Karmila sambil berpeluk tubuh. Bersandar pada kerusi yang didudukinya.
          “Okey..okey.. aku bergurau saja, janganlah marah.”
          Masih bersisa tawanya, wajah Dewi karmila masam mencuka.
          “Nak tolong apa ?”
          “Temankan aku beli barang.”
          “Hmm.. ini sudah bagus, bukan senang nak dapat peluang keluar dengan kau. Lepas tu kita tengok wayang nak.”
          “Hah.. jangan nak mengada. Aku ajak temankan aku beli barang, bukan ajak tengok wayang.”
          Rizuan masih ketawa.. seronok dapat mengenakan Dewi Karmila.
          “Nak beli apa ?”
          “Vcd player.”
          “Hmm.. lat rumah kau tak ada vcd player ?”
          “Ada.”
          “Habis untuk siapa ni ?”
          “Banyak pula soalnya.”
          “Yalah... mana aku tahu, penat aku temankan kau, aleh-aleh nak hadiahkan pada lelaki lain.”
          Dewi Karmila mencebek.
          “Yang kat rumah kau tu siapa yang pilihkan.”
          “Sofian.”
          “Kenapa tak ajak dia ? Kau orang gaduh ya.”
          Dewi Karmila berwajah cemberut.
          “Nak tolong cakap ya, tak nak cakap tidak.”
          Rizuan masih tersenyum. Dewi Karmila... Kau buatkan hidup aku bahagia. Senyuman Dewi Karmila terbawa-bawa ke dalam mimpi, masam kelat wajah Dewi Karmila membuatkan dia ketawa kesukaan, seronok bila dapat mengenakan Dewi Karmila yang tampak ayu walaupun dalam keadaan marah.
          “Dewi ! Aku ada hadiah untuk kau.”
         “Apa lagi ni.. jangan buat kejutan lagi. Sakit jantung aku nanti.”
         Tawa Dewi Karmila enak di dengar. Senyumannya cukup menggoyahkan. Diunjukkan beg kertas yang dipegang sejak tadi.
         “Untuk aku ?”
         “Dah beri kau kau.. untuk siapa lagi.”
         Dewi Karmila tersengeh, malu pula rasanya . Majlis yang dirancang oleh Rizuan amat mengejutkan, terasa diri dihargai oleh lelaki itu.
        Sebuah kotak kecil berbalut kemas dikerluarkan dari beg kertas. Dikerling ke arah Rizuan yang tersenyum-senyum sambil memandang ke arahnya. Hati dicuit rasa curiga.. hadiah apakah untuknya.
         “Apa ni ?”
         “Belum dibuka mana kau tahu isinya.”
         “Jangan kenakan aku.”
          Suara Dewi Karmila bernada curiga. Tentunya Dewi Karmila bimbang, takut terkena pula kali ini.
           Rizuan tersenyum.. jangan terlalu menyimpan perangka wahai Dewi Karmila. Masakan aku hendak mengenakan diri mu selalu.
          “Bukalah.”
          “Betul kau tak kenakan aku.”
          Tergeleng-geleng kepalanya.
          “Jahat aku ada masanya, nakal aku ada tempatnya. Dengan kau aku tak jahat, tak nakal.”
          “Boleh percaya .”
           Tersungging senyuman di bibir Dewi Karmila, bukannya tidak percaya tapi ada sedikit rasa curiga. Lelaki di hadapannya bukan boleh diambil kira.. datang angin gila-gilanya ada saja yang dirancangkannya.
           “Percaya atau tidak... kau kena buka hadiah tu dulu.”
           Dewi Karmila masih tersenyum, wajah Rizuan di hadapannya dikerling sekilas. Tenang dan bersahaja. Dikoyak kertas pembalut berwarna merah berbunga kecil, tertulis perkataan ‘Happy Birthday’. Dadanya terasa berdebar, hadiah apa yang diberikan oleh Rizuan padanya.
           Tersenyum Dewi Karmila melihat hadiah yang sudah berada di hadapannya. Satu set keronsang. Indah hiasan seninya.
          “Cantikkan.”
          “Yang mana ?”
          “Yang batu warna purple tu. Cantik design tu. Seratus lebih, mahalnya.”
           Rizuan tergelak kecil.
           “Jangan kedekut cik adik.. gaji awak tu bukannya sikit, setakat keronsang harga macam tu, takkan tak mampu beli.”
           Dewi Karmila hanya tersenyum.
           “Ikut kemampuan memang mampu.. ikut kehendak semua benda aku nak beli tapi tanggungjawab terpikul di bahu lebih besar nilainya jika hendak dibandingkan dengan sepasang keronsang.”
            “Seratus lebih aja... bukannya mahal.”
            “Itu bukan barang keperluan. Aku ada banyak lagi keronsang, yang belum guna pun ada.”
           Tergeleng-geleng kepala Rizuan, tidak mengerti akan maksud Dewi Karmila. Tanggungjawab yang sebagaimana yang dimaksudkan. Seringkali dia betanya tapi jawapan yang diterima tetap serupa. Dewi Karmuila hanya tersenyum dan kata-kata yang sama yang diterimanya... ‘satu hari nanti kau akan tahu juga.’
           “Susah sangat.. ambil aku bayarkan.”
           Dewi Karmila bercekak pinggang di hadapannya hingga menarik perhatian jurujual yang sedang berdiri di hadapan mereka.
          “Kau fikir kau siapa nak belikan keronsang tu pada aku.”
           Melenggang-lenggok Dewi Karmila meninggalkan kedai accesories tersebut dan dia hanya tercegat di situ, terpinga-pinga. Apa yang tidak kena ? Masakan tawaran yang sebaik itu dibalas dengan kata-kata yang sedemikian rupa.
           “Dewi! Kau tak marah kan..”
           Tiada senyuman di wajah Dewi Karmila. Hatinya mula diburu curiga. Apakah riaksi yang sama bakal diterimanya dari Dewi Karmila ?
           “Kenapa beli keronsang ni untuk aku ?”
          “Sebab hari ini hari istimewa dan kau juga istimewa pada aku tapi minta maaflah, keronsang yang kau suka tu dah tak ada. Dah dijual, aku tengok yang ini pun cantik, batunya warna purple juga.”
           “Istimewa ! Istimewa yang sebagaimana ?”
          Terasa dirinya seperrti orang dungu. Direnung wajah Dewi Karmila dan otaknya ligat mencari jawapan. Tersalah memberi jawapan nanti, padah yang diterima.. pada siapa hendak diberikan hadiah tersebut andai Dewi Karmila menolak pemberiannya.
          “Sahabat... kau sahabat yang paling aku sayang.”
          Dewi Karmila tersenyum.
          Senyuman yang membuatkan Rizuan kelegaan.
          “Cuma sahabat .”
          Rizuan mengangguk tapi itu satu pembohongan. Mana mungkin dia dapat menidakkan perasaannya pada Dewi Karmila. Entah bila masanya ianya bertunas, dia sendiri tidak tahu. Dia Cuma tersedar apabila rasa rindu sudah mula mengejar langkahnya. Sehari wajah itu tidak direnung hatinya mula jadi tidak keruan. Sehari suara itu tidak didengarnya, terasa seperti hidupnya jadi tidak sempurna.
          “Terima kasih.. aku hargai pemberian kau.”
           Rizuan tersenyum. Hadiah yang diberi sudah diterima oleh Dewi Karmila. Jangan Dewi Karmila bertukar fikiran sudahlah.
          “Okey.. baik kau balik ke bilik kau. Petang nanti jangan lupa janji kau dengan aku.”
           Rizuan tertawa kecil.
           “Janji dengan kau aku tak pernah lupa. Kalau terlewat seminit dua, itu kan perkara biasa.”
           Dewi mencebek.
          “Okey.. see you.”

Dewi - 5

       Buku catatan di atas meja ditutup, begitu juga denngan Rita dan Syahid.. kedua-duanya sudah bersedia untuk keluar dari bilik itu. Hamidah dan Amin mengekori dari belakang.
       Dewi Karmila lekapkan kedua belah tangan ke mukanya. Berat tugasan yang diberikan tapi dia tak punya pilihan. Sememangnya En. Taufik meminta mereka membina application tersebut tetapi sengaja dia bertanya pada mereka, sekadar untuk mengetahui pendapat mereka. Ternyata Hamidah mahukan sesuatu yang mudah.. tidak membebankan dirinya.
      Sebaik saja kaki melangkah keluar dari bilik mesyuarat, mata segera menangkap sesusuk tubuh seorang lelaki yang memandang ke arahnya. Apa yang dimahukan oleh lelaki ini ? Tidak wujudkah rasa segan di hatinya, saban waktu bertandang ke jabatan itu sedangkan pejabat sendiri terletak di tingkat lapan.
       “Hai !” Rizuan menyapa sambil tersengeh-sengeh.
       “Nak apa ?”
       “Saja.. nak jumpa kau.”
        Diekori langkah Dewi Karmila hingga ke dalam bilik , daun pintu ditutup rapat. Dewi Karmila menjeling.. kurang senang dengan cara yang begitu. Apa kata rakan-rakan sekerjanya apabila melihat Rizuan masuk ke bilik itu dan merapatkan daun pintu.
        “Kenapa tenung Aku macam tu. Ada hutang.”
        Besar tawa Rizuan sambil meletakkan kedua belah lengan di atas meja, sarat dengan perasaan aneh yang sukar dimengertikan. Jatuh cintakah dia pada Dewi Karmila. Sememangnya dia sengaja menjauhkan dirinya dari Dewi Karmila selepas pertemuan malam itu. Dia sedar siapa dirinya di mata Dewi Karmila. Playboy kl, itulan gelaran yang diberi oleh Dewi Karmila padanya. Dia tahu dia sudah terlewat. Ada orang lain yang sedang berusaha memikat Dewi Karmila atau mungkin juga sudah berjaya memikat Dewi Karmila.
        Sehari dia menjauhkan diri dari Dewi Karmila.... dia masih mampu bertahan. Masuk hari kedua... langkah Dewi Karmila hanya dipandang dari jauh tapi hari ini, sudah hari ketiga... masakan dia hendak terus mendera perasaan sendiri, sedangkan Dewi Karmila tidak tahu apa-apa. Biarlah dilayan perasaan sendiri, asalkan Dewi Karmila tidak menjauhkan diri darinya.
       “Seronoknya ketawa.. kerjanya siap tak ?”
       Dewi Karmila bercakap dengan dialek Indonesia. Kata Dewi Karmila, ayahnya berasal dari Sumatera, merantau ke tanah semenanjung untuk mencari rezeki. Bukan sekadar rezeki yang ditemuinya di sini tapi juga calon isteri... yang akhirnya menjadi suri hati. Pasangan yang dikurniakan sepasang cahaya mata. Itu kata Dewi Karmila.. namun jauh di dalam hati dia tetap memasang rasa curiga, ada sesuatu yang dirahsiakan dari dirinya. Bukan hanya pada dia tapi pada semua orang yang dikenalinya. Dewi Karmila perahsia orangnya... apa lagi cerita peribadi, cerita keluarga.. bagaikan ada sesuatu yang tidak ingin diluahkan pada sesiapa.
        “Kita lunch hari ni.”
        “Enggak mau.. aku banyak kerja.”
        Dewi Karmila masih dengan dialek Indonesianya. Apa mimpi Dewi Karmila hari ini, suka benar menggunakan dialek bahasa ayahandanya.
        “Apa hal ni... suka sangat cakap macam tu.”
        Dewi Karmila tersengeh.
        “Saja suka-suka...”
       “Atau kau sedang berusaha memikat orang Indonesia.” Rizuan mengusik.
        Dewi Karmila tersenyum.
       “Agaknya kalau aku jumpa Once.. terpikat tak dia dengan aku.”
        Berkerut dahi Rizuan”
        “Siapa Once ?”
        “Lohh.. kok itu pun kau tak tahu.”
        “Yalah siapa..?”
         “Penyanyi lagu dealova tu.”
         “Oh.. lagu yang sedap tu. Siti Nurhaliza pun ada nyani lagu tu kan.”
         Dewi Karmila mengangguk. Dia mendengar cerita tentang Siti Nurhaliza yang menyanyikan lagi tersebut di dalam rancangan yang disiarkan di tv 1 tapi dia tidak sempat menonton rancangan tersebut.
         “Handsome sangat ke dia tu. Aku tengok biasa saja. Handsome lagi aku.”
         “Weh perasan... memang dasar playboy kl, berapa ramai yang dah kau pancing bulan ni.”
         Tergeleng-geleng kepala Rizuan, lagi-lagi panggilan itu yang digunakan.
         “Jahat sangat ke aku ni ?”
        Wajahnya berubah serius... bukannya marah. Sengaja hendak menduga Dewi Karmila tapi jauh di sudut hati dia terasa juga. Dia bukannya lelaki yang terlalu jahat. Dia cuma suka berkawan dengan ramai perempuan. Tidak ada yang bertahan di sisinya selepas beberapa bulan. Dia cepat merasa bosan dengan kerenah mereka. Apa lagi kalau perempuan yang jenis meminta dan suka menggoda.
         “Aku rasa.. kau sendiri tahu, jahat atau tidak diri kau tu.”
         “Aku tak pernah merosakkan anak gadis orang.”
         Dewi tersenyum.
         “Betul.”
         “Yalah..”
         “Macam tak percaya...”
         Rizuan terdiam. Kali ini dia benar-benar terasa. Jauh benar anggapan Dewi Karmila terhadap dirinya. Kata-kata itu datang dari bibir gadis yang dipujanya.
         “Kalau tak rosakkan... sikit-sikit tu ada kan.”
         Dewi Karmila bersuara perlahan. Serba salah pula dia dibuatnya apabila melihat kekeruhan yang bertandang di wajah lelaki itu. Bolehkah dia mempercayai kata-kata lelaki seperti Rizual. Ke hulu ke hilir dengan perempuan.. seksinya tak payah dicerita, masakan Rizuan tidak tergoda.
         “Kau nak lunch dengan aku ?” Soal Dewi.
        Apa salahnya kalau dia mengalah, mungkin kata-katanya sebentar tadi sudah mengguris hati seorang sahabat.
        Tercalit senyuman di wajah Rizuan, hilang keruh yang bertapa sebentar tadi.
        “Betul ke ni.”
         Dewi tersenyum, dikerling jam di tangan, perutnya sudah menjerit minta diisi.
        “Jom.. aku belanja.”
         Rizuan tertawa kecil.
         “Mimpikah aku.. tiba-tiba saja kau nak belanja.”
         “Orang kata, rezeki jangan ditolak, padah jangan dicari. Kalau nak makan jom.. kalau tak hendak, duduk diam-diam kat sini.”
         Rizuan ketawa lagi.
        “Masakan aku nak menolak.. tuan puteri nak belanja. Setahun sekali pun payah nak merasa.”
         Dewi mencebek. Diatur langkahnya ke pintu, Rizuan mengekor dari belakang.
         Sepi.. ruang pejabat kosong tidak berpenghuni. Bukan sahaja kosong tapi gelap tanpa cahaya lampu.
        “Apa hal ni ?”
         Dewi Karmila mengomel sendiri sambil mengatur langkah mencari suis lampu. Belum sempat suis ditekan, mata menangkap cahaya yang datang dari arah bilik mesyuarat. Cahaya lilin.
         Tergamam dia di situ.
         “Happy birthday to you. Happy birthday to you. Happy birthday to Dewi. Happy birthday to you.”
          Riuh suara teman-teman menyanyikan lagu itu, terselit wajah si lelaki yang tadinya mengekori langkahnya dari belakang.
         “Cepatlah, tiup lilin tu.”
         Jerit satu suara.. siapa? Dia tidak pasti.
         “Tiuplah Cik Dewi.”
         Rita tercegat di sisinya.
        Hanya senyuman yang terukir di bibirnya, ada sedih ada gembira.. Dia sendiri terlupa tentang tarikh tersebut, tarikh hari lahir sendiri. Lambat-lambat ditiup juga lilin yang masih menyala. Tepukan bergema... ruang pejabat terang benderang, lampu yang tadinya sengaja dipadamkan sudah terpasang semula.
         “Happy birthday Cik Dewi.”
         Satu ciuman di pipi diterima dari Rita, dituruti oleh Kasinah kemudian Hamidah. Syakila juga tidak mahu ketinggalan.
         “Aku nak cium boleh.”
         Tercegat Rizuan di sisinya.
         “Tak malu..” Rita menjerit, yang lain-lainnya ketawa kesukaan.
         Rizuan hanya tersengeh.
         “Cik Dewi ! Ini hadiah dari kami.”
         Satu bungkusan diserahkan ke tangannya.
        “Terima kasih semua. Terima kasih kerana ingat hari lahir saya. Saya sendiri terlupa.” Ada sebak yang datang bertandang. Terasa dirinya dihargai, disayangi rakan-rakan sekerja.
        “Cik Dewi kena berterima kasih dengan En. Rizuan, Dia yang ingatkan kami. Dia juga yang plan majlis ni, Kami semua cuma ikut arahan.”
         Dewi Karmila menoleh ke kanan, Rizuan masih tercegat di tempat yang sama, masih dengan senyuman menggodanya. Ah Rizuan, kau buatkan hati aku jadi lintang pukang.
         “Thanks Juan,” ucapnya dengan rasa terharu.
         “Terima kasih saja.. satu ciuman untuk satu batang lilin.”
          Merah padam wajah Dewi Karmila. Rizuan memang tidak tahu malu.
         “En. Rizuan ni teruk betul.. tak malu,” rungut Rita sambil menarik tangan Dewi ke arah meja yang diletakkan di tengah ruang. Hidangan sudah disediakan. KFC.. banyaknya. Apakah semua ini disediakan oleh Rizuan ?
         “Okey.. jemput makan semua.”
          Masing-masing mencapai ketulan ayam goreng, kentang goreng kemudian beralih ke tempat masing-masing. Rita memotong kek coklat yang dibeli petang semalam, duitnya Rizuan juga yang hulurkan. Terdetik juga di hatinya... Rizuan sangat berminat dengan Dewi Karmila. Sanggup menghabiskan duit untuk majlis itu. Bukannya sedikit...banyak juga belanjanya. Cheese cake dari Secret Recipe itu saja sudah hampir mencecah enam puluh ringgit, itu belum termasuk hidangan KFC yang disediakan untuk mereka semua. Dewi Karmila dan Rizuan memang sepadan, sama cantik dan menarik.. bagai pinang dibelah dua cuma yang membezakan mereka, Dewi Karmila masih sendirian tanpa teman lelaki tapi Rizuan sering saja bertukar-tukar pasangan.
         “Thanks Juan.” Sekali lagi ucapan itu diberikan ketika kedua-duanya duduk bersebelahan, menikmati kelazatan ayam goreng yang masih panas.
          “Siapa yang beli ayam ni, panas lagi.”
         “Siapa lagi kalau bukan aku. Dia orang kat sini semuanya sibuk. Plan sebenar Syahid yang akan membeli, alih-alih kau adakan mesyuarat tergempar, terpaksa aku turun padang.”
          “Thank you.. thank you... thank you.” Meleret-leret senyuman di bibir Dewi Karmila.
          “Kan aku cakap terima kasih saja tak cukup. Aku nakkan ciuman.”
          “Weh.. jangan nak mengarut, masih ramai gadis-gadis diluar sana yang sudi memberikan ciuman pada kau. Bukan aku.”
           Dewi Karmila tertaw kecil.
          “Well.. okey, suatu hari nanti, kau mesti cium aku juga.”
          “Jangan perasan.”
           Dewi mencebek. Disuap ayam goreng ke dalam mulut.
          “Macam budak-budak, comot,” bebel Rizuan. Pantas saja lelaki itu mencapai kertas tisyu dan mengesat di bahagian tepi bibirnya. Tidak sempat hendak dielak.. malunya, bukan seorang dua yang sedang memerhatikan mereka.
          “Apa kau ni... tak malu.”
          “Aku buat apa, cuma kesat pipi kau.. salah?”
           Bengkak hatinya.. bagaimana agaknya layanan Rizuan dengan gadis-gadis yang didampinginya selama ini. Seromantis itukah atau lebih-lebih lagi. Entah-entah sudah berpuluh bibir si gadis yang diratahnya. Eee.. seram pula dia dibuatnya..

Dewi - 4

WAJAH-WAJAH yang berada di dalam ruang bilik mesyuarat itu menjadi sasaran matanya, seorang demi seorang. Tentunya mereka tertanya-tanya, gerangan apakah yang menyebabkan dia memanggil mereka berempat. Duduk di dalam bilik mesyuarat itu. Awal pagi tadi dia yang disuruh menghadap En. Taufiq selaku pengurus jabatan teknologi maklumat dan sekarang ini sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memberi maklumat untuk tugasan yang baru diterima itu kepada anak-anak buahnya.

“Sebelum saya teruskan perbincangan, saya nak kamu semua berikan progress untuk setiap application yang ada sekarang.”

Hakikatnya laporan yang diterima beberapa hari lalu sudah diteliti dan tugasan baru itu akan diberikan pada mereka berempat. Sama banyaknya, supaya tidak ada yang berkira.

“Amin !”

Wajah Amin menjadi sasaran, analyst programmer yang diberikan tugas untuk memerhatikan application yang disediakan untuk jabatan pemasaran. Application yang tidak sebesar mana tapi bila melibatkan soal kewangan, dia sering berpesan pada Amin supaya lebih berhati-hati agar duit syarikat tidak terkeluar begitu saja. Mereka yang bertanggungjawab untuk memastikan dealer dan vendor tidak membuat tuntutan sesuka hati mereka. Kes yang berlaku beberapa bulan yang lalu membuatkan dia terasa seram, bukan sedikit jumlah ringgit malaysia yang sudah dilepaskan kerana kecuaian pihak permasaran. Mungkin juga kerana tidak ada application yang mengawal pergerakan tuntutan dari dealer dan vendor.

“Setakat ni semuanya okey, Cik Dewi.”

Di dalam mesyuarat, panggilan Cik Dewi akan digunakan tapi di luar bilik mesyuarat, cukup hanya menggunakan namanya. Itu permintaannya biar kemesraan itu wujud di mana-mana.

“Ada lagi masaalah double claim ?”

“Saya dah keluarkan report.. ada duplication untuk nombor yang vendor claim. Pihak marketing dah decide... mereka tak akan bayar sebab terlebih bayar untuk nombor sebelum ini.”

“Apa reaksi vendor dan dealer ?”

“Masing-masing tak puas hati.. tapi kita dah buktikan dengan report on duplication tu.”

“Finance macam mana ?”

“Setakat ni okey, semua report I submit pada mereka.”

“Hmm.... saya nak satu copy nanti.”

Amin menangguk. Tidak pula Dewi Karmila meminta satu salinan laporan tersebut sebelum ni.

“Okey.. Rita ! Dah install application untuk vendor?”

Pandangannya dialihkan ke arah Rita, programmer yang diletakkan di bawah jagaan Amin. Anak gadis yang baru saja menamatkan pengajiannya dalam jurusan sains komputer di UITM.

“Setakat ni dah install untuk lima dealer besar sekitar KL.”

“You pergi dengan siapa ?”

“Staff marketing, Khalid dan Zamani.”

“Ada apa-apa masaalah ?”

“Semuanya okey.”

Dialihkan pandangannya ke wajah Hamidah, analyst rogrammer yang sama-sama bekerja dengannya suatu ketika dulu.

“Application untuk customer service department macam mana ?”

“Okey.. they all dah guna, sambutan pun okey.”

“Ada apa-apa komen dari user.”

“Application tak ada masaalah tapi connection dengan Oracle. ”

“So.. kalau shift malam macam mana ?”

“I dah ajar user, macam mana nak connect balik. Dia orang faham, pernah sekali connection drop waktu malam, Syamil call I, dia boleh ikut arahan I.”

“Hmm.. bagus.”

“Bill Dispute macam mana ?”

“In progress.. around 50 %”

“So.. you buat dengan Syahid.”

Hamidah mengangguk.

“Syahid ! Ada masaalah tak ?”

Wajah programmer muda yang berasal dari kelantan menjadi sasaran matanya. Setiap kali anak muda itu pulang ke daerah kelahirannya, ada saja buah tangan yang dibawa untuk mereka. Pernah juga dia meminta Syahid membelikan dia sepasang kain sutera, anak muda itu hanya tersenyum. Diminta sepasang, yang diperolehinya dua pasang... Syahid dapat membeli kain itu dengan harga yang murah dari emak saudaranya. Boleh tahan juga citarasa anak jati kelantan itu. Telo kelantannya masih pekat tapi ada kalanya sedap didengar.

“Okey.. Cik Dewi, kalau ada masaalah, Kak Midah ada... dia banyak tolong saya.”

Dewi tersenyum. Senang hatinya mendengar penjelasan anak-anak buahnya. Masing-masing menjalankan tugas dengan baik. Selaku system analyst, merangkap team leader di software developmen, dia yang perlu mengambil tahu tentang apa yang sedang berlaku di dalam department itu.

“Siapa yang buat mailing list.”

Keempat-empat wajah di hadapannya direnung satu persatu.

“Saya Cik Dewi.”

Syahid yang menjawab sambil mengangkat tangannya sedikit.

“Ada perkembangan ?”

“Saya dah jumpa user, beberapa orang secretary dan dapatkan requirement mereka. Sekarang ni Saya tengah compile requirement dan siapkan functional spec.”

“Ada masaalah ?”

“Tak ada Cik Dewi.”

“Okey... bila boleh siap functional spec ?”

“Minggu depan Cik Dewi.”

“Minggu depan ada lima hari.. hari yang mana ?” Hamidah dan Amin sudah tersenyum. Tidak sukar untuk bekerja dengan Dewi Karmila tapi bila Dewi Karmila memerlukan jawapan. Jawapan itu perlu menuju ke arah yang sebenarnya.

“Insyaallah hari Jumaat.”

Dewi Karmila mengulum senyum.. Syahid memilih hari terakhir pada minggu tersebut.

“Kalau hari sabtu kerja.. hari sabtulah awak hantar pada saya.”

Syahid tersengeh.. tepat sekali tekaan Dewi Karmila.

“Okey.. pagi jumaat, functional requirement atas meja saya.”

“Okey Cik Dewi.”

Dewi betulkan sandarannya, e-mail yang dihantar padanya dan hasil dari perbincangan dengan En. Taufiq sudah berada di atas meja, sebahagiannya masih tertulis di otaknya. Hanya menanti masa untuk diluahkan pada mereka.

“Kita ada tugasan baru.”

Keempat-empat pasang mata merenung wajah Dewi Karmila. Gadis itu tetap tenang dan bersahaja.

“HR department mahukan payroll system yang baru dan recruitment system. Application yang digunakan sekarang dah ketinggalan. Orang yang develop system tu pun dah resign. Sekarang ni cuma saya yang tahu tentang system tersebut. Kita ada dua pilihan.. develop atau beli system dari company lain.”

Pen di tangan diketuk di atas meja. Jawapan apakah yang akan didengarnya dari mereka berempat? Jika hendak goyang kaki, beli saja system tersebut dari mana-mana vendor yang menawarkan system untuk jabatan pembangunan manusia itu tapi jika dibuat sendiri, untungnya pada mereka juga.. peluang di hadapan mata lebih cerah. Banyak pengalaman yang bakal diperolehi.

“So.. siapa setuju kita develop new payroll system, atau kita beli saja system payroll dan recruitment.”

Wajah Hamidah menjadi sasarannya, dalam fikiran sudah terbayang, jawapan apa yang bakal diterima dari Ibu beanak dua itu.

“Kita beli saja Cik Dewi... kerja senang. Kita cuma maintain system tu. Tak payah pening-peningkan kepala.”

Benar jangkaannya, itulah jawapan yang pasti menerjah gegendang telinganya tapi itu hak Hamidah.. dia betanya dan Hamidah memberikan jawapannya.

Dialihkan pula pandangan matanya ke arah Amin.

“Amin !”

“Ikutkan saya, lebih baik kita develop. Base on system yang sedia ada. Kita improve apa yang kurang. Kita tak rugi.. kalau ada masaalah. Kita settle sendiri.. tahu sajalah bila deal dengan vendor, silap-silap kita yang kena handle sendiri.”

“Hmm.. okey.”

“Syahid dan Rita bagaimana ?”

“Saya setuju dengan pendapat En. Amin.” Rita memberikan jawapannya.

“Saya pun sama Cik Dewi.. inilah peluang kami dan nak develop application yang besar macam tu. Satu cabaran bagi kami orang baru ni.” Bersemangat benar anak muda yang seorang ini.

Dewi tersenyum.. kerlingan Hamidah sudah cukup untuk dimengertikan. Tidak ada sesiapa yang menyokong dirinya. Rita dan Syahid sependapat dengan Amin.

“Okey.. since suara majoriti nak kita develop application ni, Saya rasa kita develop saja. Amin dan Hamidah.. I nak both of you work together, find out how the current system work. Saya nak tengok laporannya secepat mungkin.”

“Payroll ke Cik Dewi ?”

“You all handle payroll. Ada beberapa dokumen tentang payroll pada saya, nanti saya berikan.”

Hamidah dan Amin berpandangan.

“Syahid ! I nak you jumpa Puan Safiah. Dia handle recruitment. Find out macam mana dia handle resume dan interview untuk dapatkan staff baru. Actually, ada lagi module untuk HR department termasuk cuti dan time attendance tapi kita cuma diminta untuk upgrade payroll yang dah ada dan create recruitment system. Tak tahulah kalau lepas ni, management akan minta kita develop module yang lain-lain pula.”

“Okey.. Cik Dewi.”

“Rita ! You tolong Shahid ya.”

“Okey... Cik Dewi.”

“I ada few catalog untuk HR system , nanti ambil dengan I.”

Sekali lagi wajah-wajah di hadapannya menjadi sasaran mata, masing-masing hanya mendiamkan diri. Tidak segalak dan serancak bila berada di ruang pejabat, mungkin kerana keseriusan dirinya sendiri.

“Okey.. ada apa-apa yang hendak ditanya ?”

Hamidah menggeleng, begitu juga dengan Amin. Rita dan Syahid hanya mendiamkan diri, biar orang lama yang bersuara.

“Okey.. kalau tak ada apa-apa, Kita berhenti di sini, sediakan apa yang saya hendak dengan secepat mungkin tapi jangan abaikan tugas yang sedia ada. Assalamualaikum.”

Dewi - 3

         DEWI KARMILA matikan suiz mesin jahit. Baju yang hampir selesai jahitannya dilipat kemas. Malas hendak diteruskan.
        “Kau nak keluar ?”
        “Hmm.”
        “Dengan siapa ?”
         Soalan itu dibiarkan sepi.
         “Pian or Juan.” Hamidah cuba meneka.
         “Juan.”
         Hamidah menegakkan tubuhnya sambil merenung wajah Dewi Karmila teman serumahnya. Tidak serikkah Dewi dengan peristiwa beberapa bulan yang lalu? Seorang gadis menerpa dan memarahinya sebaik saja terpandang Dewi Karmila bergandingan dengan si Playboy KL bernama Rizuan itu.
         “Tak serik-serik.”
         Dewi Karmila tersengeh. Pastinya kerana peristiwa itu, Hamidah tidak pernah bersetuju jika dia ke mana-mana dengan Rizuan.
         “Dia kawan sepejabat, bukan boy friend. Sesekali keluar makan berdua apa salahnya.”
         “Kalau kena serang ?”
         “Juan ada, takkan dia nak tengok saja.”
         “Masa Juan ada, kalau Juan tak ada.”
         “Aku cabut lari.”
         Besar tawa Hamidah sebaik saja Dewi Karmila menghabiskan ayat ringkasnya.
         “Kau ni...”
        “Duduk kat rumah, berdua saja dengan kau pun bosan juga. Kau tengok muka aku. Aku tengok muka kau.. nak tengok muka si Alya, jangan harap la jawabnya, berkepit dua puluh empat jam.”
         Hamidah hanya tersenyum.
         “Kirim boleh.”
         “Tadi tak bagi aku keluar, sekarang nak kirim pula. Kata tadi nak masak.”
         “Dah kau nak keluar.. kirim ajalah, nak masak alang- kepalang, aku sorang saja nak makan.”
        “Tapi kalau aku balik lambat, kau jangan marah.. kebulur kau nanti.”
        “Janganlah nak dera aku...”
        Dewi Karmila tersengeh..
        “Tengoklah.. ada juga alasan aku nak ajak Juan balik awal. Tahu sajalah kalau keluar dengan Playboy KL tu, lagi tak cecah jam satu dua pagi, jangan harap reti nak balik.”
        Hamidah tertawa kecil.
       “Dah tahu macam tu pun, kau nak keluar dengan dia juga.”
       “Banyak songeh pula.. aku tak beli apa yang kau pesan baru tahu.”
       Hamidah tersengeh.
       “Okey..okey.. jangan lupa nasi lemak aku.”
       “Nak lauk apa ?”
       “Bedal sajalah.”
       “Okey.. aku nak mandi.”
       Dewi Karmila berlalu masuk ke biliknya. Hamidah hanya memandang sambil tersenyum. Siapa sebenarnya di hati Dewi Karmila... Sofian atau Rizuan ?
       Hon kereta yang berbunyi sekali lagi. Terganggu tumpuannya pada majalah di tangan. Dikerling jam di dinding, masih ada sepuluh minit dari masa yang dijanjikan. Masakan Rizuan.. lelaki yang tidak pernah menepati masanya setiap kali berjanji. Mungkin orang lain.. jiran tetangga yang menanti kedatangan seseorang atau ada kereta yang menyekat laluan. Masyarakat kota besar itu bermacam ragamnya, bermacam gayanya. Pentingkan diri sendiri, salah satu dari corak hidup mereka.
       “Dewi! Kau tak dengar ke bunyi hon tu.”
        Terjengul Hamidah di muka pintu, berkerut seperti termakan asam boi yang masam dan masin rasanya.
        “Orang lain kot.”
        “Kau main teka aja.. bingit telinga uku tau tak...kereta Juan kat luar tu.”
        Sekali lagi jam di dinding menjadi sasaran mata. Biar betul, lelaki itu sampai sebelum waktunya. Bergegas dia bangkit dan menjenguk melalui tingkap. Benar kata Hamidah, kereta si playboy kl tersadai di luar pagar. Lelaki itu berdiri di sisi keretanya sambil berpeluk tubuh.
        “Kenapa cepat sangat sampai ?”
        Rizuan tertawa kecil.
        “Cepat salah, lambat salah.. bila aku lambat, kau kata aku tak reti tengok jam. Sekarang kau nak kata apa pula kat aku.”
        “Hmm... nanti aku fikirkan apa yang sesuai.”
        Daun pintu dibuka, seperti biasa Rizuan tetap dengan sifat gentlemannya. Bukakan pintu kereta dan menutupnya semula setelah pasti akan keselesaan si gadis. Hmm.. patutlah ramai gadis-gadis yang tersangkut dengan lelaki ini. Apakah dia juga sudah tersangkut dengan lelaki Playboy itu ?
        “Kita nak ke mana ?”
       “Weh... tadi dia yang beriya-iya nak makan nasi lemak, ini dah tanya kita pula.”
       “Manalah tahu kot-kot kau tukar fikiran, nak tengok wayang dengan aku.”
       Dewi Karmila mencebek.
       “Jangan harap, aku tak tengok wayang dengan lelaki.”
       “Ini lagi pembohong besar.. yang aku nampak kau dengan Sofian di Mid Valley tu apa. Tengok wayang ke, wayang tengok kau.”
       “Yalah.. tapi bukan berdua dengan Sofian. Syida pun ada kan. Maksud aku.. tengok wayang berdua-duaan dengan lelaki.”
       Rizuan tersenyum.
       “Kau tak sebut pun tadi.”
       Dewi Karmila mencemmekkan hidungnya.
       “Yalah tu.”
       “Aku tengok Sofian tu caring gila .. takkan tak ada apa-apa kot.”
        Dewi Karmila goyangkan tangannya.
       “Tak ada... kalau ada, jangan harap aku nak keluar dengan kau.”
       “Kiranya kau ni jenis setia pada yang satu la...”
       “Insyaallah.”
       “Kalau macam tu, kau saja jadi awek aku.”
       “Weh... jangan nak perasan, dari aku pilih kau lebih baik aku pilih Sofian. Playboy kl...”
       Besar tawa Rizuan sambil menepuk stereng keretanya, berbunyi hon kereta tersebut dek kerana ketukan yang agak kuat.
      “Hey ! Janganlah buang tabiat.”

“Tak ada.. lawaklah kau ni. Ada ke kau gelar aku playboy kl.”

Masih bersisa tawa Rizuan. Lucu dengan gelaran yang baru didengarnya malam ini. Setakat playboy itu biasalah tapi penambahan KL di belakang gelaran itu membuatkan dia terasa gelihati. Macamlah dia seorang sahaja playboy di kota Kuala Lumpur.

“Okey.. perut aku dah lapar, banyak sangat ketawa, dah masuk angin.”

“Siapa suruh kau ketawa.”

“Dah kau jadi tukang karutnya.”

“Ha..ah, aku jadi si tukang karut, dan kau pengikutnya.” Dewi Karmila bercakap dengan sedikit pelat Indonesia.

Kereta diberhentikan tidak jauh dari deretan gerai makanan. Dewi Karmila tanggalkan tali pinggang, begitu juga dengan Rizuan. Kedua-duanya mengatur langkah ke arah tempat yang dituju.

“Kau order minuman untuk aku. Aku ambil nasi untuk kau.”

“Okey.. nak minum apa ?”

“Macam tak biasa.”

Rizuan ketawa. Ditinggalkan Dewi Karmila setelah menarik kerusi untuk gadis itu. Tidak ramai pengunjung yang beratur untuk menunggu giliran.

“Hai !”

Dewi Karmila menoleh,masakan dia tidak mengenali suara lelaki itu tapi apa pula yang dibuatnya di sini.

“Pian !”

Kerusi yang berada di sisi Dewi Karmila ditarik cermat.

“Kau pun ada kat sini ?”

“Hmm.. Aku pun nak makan kat sini juga.”

“Sorang ?”

“Tu...” panjang muncungnya ke arah rakan-rakan yang duduk semeja dengannya. Masing-masing mengangkat, tentunya mereka juga mengenali Dewi Karmila.

“Aku beramai-ramai tapi kau berdua saja.”

Dewi tersenyum kelat. Sofian sudah mula menyindir.

“Orang dah ajak, aku ikut la.”

Ada keluhan yang dilepaskan.

“Kau dari mana tadi ?”

“Rumah.”

“Dia jemput.”

“Hmm.. malas nak drive ke sini.”

“Yalah tu.. dapat naik kereta besar, atau kau naik motor dengan dia.” Sofian menyindir lagi.

Apa yang tidak kena dengan lelaki yang seorang ini. Cemburukan Rizuan ? Hmm... susahnya. Sudah beberapa kali dia tegaskan pada Sofian mereka berdua cuma bersahabat. Begitu juga dia dan Rizuan.

“Hey Pian! Kau pun ada kat sini.”

Kedua tangan bertaut.

Sofian tersenyum hambar. Panas hatinya melihat senyuman Rizuan. Lelaki playboy itu juga yang dipilih oleh Dewi Karmila.

Rizuan letakkan dua pinggan nasi lemak di atas meja. Tidak pula dia menyangka mereka akan bertemu di situ. Dia dan Dewi Karmila. Sofia datang ke situ bersama siapa pula ?

“Aku dengan kawan-kawan.”

“Hmm.. nak join Kami ?”

Sofian tersenyum. Ikhlaskah Rizuan mengajak dia menyertai mereka. Dia tahu Rizuan juga menyimpan perasaan pada Dewi Karmila tapi kata Dewi Karmila Rizuan itu cuma sahabat, sama seperti dirinya.

“Tak apalah... kawan-kawan aku di sana. Enjoy your dinner.”

Sofian bangkit dari kerusi, sekali lagi tangan bertaut.

“Jumpa lagi nanti.”

Dewi Karmila hanya mengangguk. Langkah Sofian dihantar dengan rasa yang kurang enak. Kenapa harus bertemu di tempat itu ?

“Hmm.. jumpa si buah hati kat sini, hilang selera makan.” Rizuan mengusik.

Biar sepuluh kali pun Dewi Karmila menidakkan perasaannya pada Sofian tapi lelaki itu... besar hajatnya untuk Dewi Karmila. Renungan, jelingan dan nada suara Sofian sebentar tadi sudah cukup sebagai jawapan... tercalit rasa cemburu di hati lelaki itu.

“Jangan nak membebel.. aku lapar, nak makan.”

Wajah Dewi Karmila menjadi sasaran. Dewi Karmila menyuap nasi ke mulut, matanya merenung pinggan nasi lemak berlaukkan ayam, udang dan sotong di hadapannya.

“Banyaknya lauk.”

Rizuan ketawa. Hah.. Dewi Karmila berangan sebentar tadi.. saat mulut sudah mengunyah, baru disedari akan rupa nasi lemak yang sarat di dalam pinggannya.

“Mana boleh aku habiskan semua ni.”

“Tak boleh habis... aku habiskan.”

Dewi Karmila mencebek.

“Dah tu, makan.”

Dewi Karmila menyuap lagi.

Rizuan tertawa kecil. Terhibur hatinya melihat gaya si gadis, lembut dan sopan. Itulah Dewi Karmila.. gadis cantik jinak-jinak merpati. Mesra tapi sukar didekati. Rizuan menyuap nasi ke mulutnya.