Dewi - 3

         DEWI KARMILA matikan suiz mesin jahit. Baju yang hampir selesai jahitannya dilipat kemas. Malas hendak diteruskan.
        “Kau nak keluar ?”
        “Hmm.”
        “Dengan siapa ?”
         Soalan itu dibiarkan sepi.
         “Pian or Juan.” Hamidah cuba meneka.
         “Juan.”
         Hamidah menegakkan tubuhnya sambil merenung wajah Dewi Karmila teman serumahnya. Tidak serikkah Dewi dengan peristiwa beberapa bulan yang lalu? Seorang gadis menerpa dan memarahinya sebaik saja terpandang Dewi Karmila bergandingan dengan si Playboy KL bernama Rizuan itu.
         “Tak serik-serik.”
         Dewi Karmila tersengeh. Pastinya kerana peristiwa itu, Hamidah tidak pernah bersetuju jika dia ke mana-mana dengan Rizuan.
         “Dia kawan sepejabat, bukan boy friend. Sesekali keluar makan berdua apa salahnya.”
         “Kalau kena serang ?”
         “Juan ada, takkan dia nak tengok saja.”
         “Masa Juan ada, kalau Juan tak ada.”
         “Aku cabut lari.”
         Besar tawa Hamidah sebaik saja Dewi Karmila menghabiskan ayat ringkasnya.
         “Kau ni...”
        “Duduk kat rumah, berdua saja dengan kau pun bosan juga. Kau tengok muka aku. Aku tengok muka kau.. nak tengok muka si Alya, jangan harap la jawabnya, berkepit dua puluh empat jam.”
         Hamidah hanya tersenyum.
         “Kirim boleh.”
         “Tadi tak bagi aku keluar, sekarang nak kirim pula. Kata tadi nak masak.”
         “Dah kau nak keluar.. kirim ajalah, nak masak alang- kepalang, aku sorang saja nak makan.”
        “Tapi kalau aku balik lambat, kau jangan marah.. kebulur kau nanti.”
        “Janganlah nak dera aku...”
        Dewi Karmila tersengeh..
        “Tengoklah.. ada juga alasan aku nak ajak Juan balik awal. Tahu sajalah kalau keluar dengan Playboy KL tu, lagi tak cecah jam satu dua pagi, jangan harap reti nak balik.”
        Hamidah tertawa kecil.
       “Dah tahu macam tu pun, kau nak keluar dengan dia juga.”
       “Banyak songeh pula.. aku tak beli apa yang kau pesan baru tahu.”
       Hamidah tersengeh.
       “Okey..okey.. jangan lupa nasi lemak aku.”
       “Nak lauk apa ?”
       “Bedal sajalah.”
       “Okey.. aku nak mandi.”
       Dewi Karmila berlalu masuk ke biliknya. Hamidah hanya memandang sambil tersenyum. Siapa sebenarnya di hati Dewi Karmila... Sofian atau Rizuan ?
       Hon kereta yang berbunyi sekali lagi. Terganggu tumpuannya pada majalah di tangan. Dikerling jam di dinding, masih ada sepuluh minit dari masa yang dijanjikan. Masakan Rizuan.. lelaki yang tidak pernah menepati masanya setiap kali berjanji. Mungkin orang lain.. jiran tetangga yang menanti kedatangan seseorang atau ada kereta yang menyekat laluan. Masyarakat kota besar itu bermacam ragamnya, bermacam gayanya. Pentingkan diri sendiri, salah satu dari corak hidup mereka.
       “Dewi! Kau tak dengar ke bunyi hon tu.”
        Terjengul Hamidah di muka pintu, berkerut seperti termakan asam boi yang masam dan masin rasanya.
        “Orang lain kot.”
        “Kau main teka aja.. bingit telinga uku tau tak...kereta Juan kat luar tu.”
        Sekali lagi jam di dinding menjadi sasaran mata. Biar betul, lelaki itu sampai sebelum waktunya. Bergegas dia bangkit dan menjenguk melalui tingkap. Benar kata Hamidah, kereta si playboy kl tersadai di luar pagar. Lelaki itu berdiri di sisi keretanya sambil berpeluk tubuh.
        “Kenapa cepat sangat sampai ?”
        Rizuan tertawa kecil.
        “Cepat salah, lambat salah.. bila aku lambat, kau kata aku tak reti tengok jam. Sekarang kau nak kata apa pula kat aku.”
        “Hmm... nanti aku fikirkan apa yang sesuai.”
        Daun pintu dibuka, seperti biasa Rizuan tetap dengan sifat gentlemannya. Bukakan pintu kereta dan menutupnya semula setelah pasti akan keselesaan si gadis. Hmm.. patutlah ramai gadis-gadis yang tersangkut dengan lelaki ini. Apakah dia juga sudah tersangkut dengan lelaki Playboy itu ?
        “Kita nak ke mana ?”
       “Weh... tadi dia yang beriya-iya nak makan nasi lemak, ini dah tanya kita pula.”
       “Manalah tahu kot-kot kau tukar fikiran, nak tengok wayang dengan aku.”
       Dewi Karmila mencebek.
       “Jangan harap, aku tak tengok wayang dengan lelaki.”
       “Ini lagi pembohong besar.. yang aku nampak kau dengan Sofian di Mid Valley tu apa. Tengok wayang ke, wayang tengok kau.”
       “Yalah.. tapi bukan berdua dengan Sofian. Syida pun ada kan. Maksud aku.. tengok wayang berdua-duaan dengan lelaki.”
       Rizuan tersenyum.
       “Kau tak sebut pun tadi.”
       Dewi Karmila mencemmekkan hidungnya.
       “Yalah tu.”
       “Aku tengok Sofian tu caring gila .. takkan tak ada apa-apa kot.”
        Dewi Karmila goyangkan tangannya.
       “Tak ada... kalau ada, jangan harap aku nak keluar dengan kau.”
       “Kiranya kau ni jenis setia pada yang satu la...”
       “Insyaallah.”
       “Kalau macam tu, kau saja jadi awek aku.”
       “Weh... jangan nak perasan, dari aku pilih kau lebih baik aku pilih Sofian. Playboy kl...”
       Besar tawa Rizuan sambil menepuk stereng keretanya, berbunyi hon kereta tersebut dek kerana ketukan yang agak kuat.
      “Hey ! Janganlah buang tabiat.”

“Tak ada.. lawaklah kau ni. Ada ke kau gelar aku playboy kl.”

Masih bersisa tawa Rizuan. Lucu dengan gelaran yang baru didengarnya malam ini. Setakat playboy itu biasalah tapi penambahan KL di belakang gelaran itu membuatkan dia terasa gelihati. Macamlah dia seorang sahaja playboy di kota Kuala Lumpur.

“Okey.. perut aku dah lapar, banyak sangat ketawa, dah masuk angin.”

“Siapa suruh kau ketawa.”

“Dah kau jadi tukang karutnya.”

“Ha..ah, aku jadi si tukang karut, dan kau pengikutnya.” Dewi Karmila bercakap dengan sedikit pelat Indonesia.

Kereta diberhentikan tidak jauh dari deretan gerai makanan. Dewi Karmila tanggalkan tali pinggang, begitu juga dengan Rizuan. Kedua-duanya mengatur langkah ke arah tempat yang dituju.

“Kau order minuman untuk aku. Aku ambil nasi untuk kau.”

“Okey.. nak minum apa ?”

“Macam tak biasa.”

Rizuan ketawa. Ditinggalkan Dewi Karmila setelah menarik kerusi untuk gadis itu. Tidak ramai pengunjung yang beratur untuk menunggu giliran.

“Hai !”

Dewi Karmila menoleh,masakan dia tidak mengenali suara lelaki itu tapi apa pula yang dibuatnya di sini.

“Pian !”

Kerusi yang berada di sisi Dewi Karmila ditarik cermat.

“Kau pun ada kat sini ?”

“Hmm.. Aku pun nak makan kat sini juga.”

“Sorang ?”

“Tu...” panjang muncungnya ke arah rakan-rakan yang duduk semeja dengannya. Masing-masing mengangkat, tentunya mereka juga mengenali Dewi Karmila.

“Aku beramai-ramai tapi kau berdua saja.”

Dewi tersenyum kelat. Sofian sudah mula menyindir.

“Orang dah ajak, aku ikut la.”

Ada keluhan yang dilepaskan.

“Kau dari mana tadi ?”

“Rumah.”

“Dia jemput.”

“Hmm.. malas nak drive ke sini.”

“Yalah tu.. dapat naik kereta besar, atau kau naik motor dengan dia.” Sofian menyindir lagi.

Apa yang tidak kena dengan lelaki yang seorang ini. Cemburukan Rizuan ? Hmm... susahnya. Sudah beberapa kali dia tegaskan pada Sofian mereka berdua cuma bersahabat. Begitu juga dia dan Rizuan.

“Hey Pian! Kau pun ada kat sini.”

Kedua tangan bertaut.

Sofian tersenyum hambar. Panas hatinya melihat senyuman Rizuan. Lelaki playboy itu juga yang dipilih oleh Dewi Karmila.

Rizuan letakkan dua pinggan nasi lemak di atas meja. Tidak pula dia menyangka mereka akan bertemu di situ. Dia dan Dewi Karmila. Sofia datang ke situ bersama siapa pula ?

“Aku dengan kawan-kawan.”

“Hmm.. nak join Kami ?”

Sofian tersenyum. Ikhlaskah Rizuan mengajak dia menyertai mereka. Dia tahu Rizuan juga menyimpan perasaan pada Dewi Karmila tapi kata Dewi Karmila Rizuan itu cuma sahabat, sama seperti dirinya.

“Tak apalah... kawan-kawan aku di sana. Enjoy your dinner.”

Sofian bangkit dari kerusi, sekali lagi tangan bertaut.

“Jumpa lagi nanti.”

Dewi Karmila hanya mengangguk. Langkah Sofian dihantar dengan rasa yang kurang enak. Kenapa harus bertemu di tempat itu ?

“Hmm.. jumpa si buah hati kat sini, hilang selera makan.” Rizuan mengusik.

Biar sepuluh kali pun Dewi Karmila menidakkan perasaannya pada Sofian tapi lelaki itu... besar hajatnya untuk Dewi Karmila. Renungan, jelingan dan nada suara Sofian sebentar tadi sudah cukup sebagai jawapan... tercalit rasa cemburu di hati lelaki itu.

“Jangan nak membebel.. aku lapar, nak makan.”

Wajah Dewi Karmila menjadi sasaran. Dewi Karmila menyuap nasi ke mulut, matanya merenung pinggan nasi lemak berlaukkan ayam, udang dan sotong di hadapannya.

“Banyaknya lauk.”

Rizuan ketawa. Hah.. Dewi Karmila berangan sebentar tadi.. saat mulut sudah mengunyah, baru disedari akan rupa nasi lemak yang sarat di dalam pinggannya.

“Mana boleh aku habiskan semua ni.”

“Tak boleh habis... aku habiskan.”

Dewi Karmila mencebek.

“Dah tu, makan.”

Dewi Karmila menyuap lagi.

Rizuan tertawa kecil. Terhibur hatinya melihat gaya si gadis, lembut dan sopan. Itulah Dewi Karmila.. gadis cantik jinak-jinak merpati. Mesra tapi sukar didekati. Rizuan menyuap nasi ke mulutnya.