Dewi - 1

          TIDAK pernah dia terfikir untuk menerima seorang lelaki bernama Sofian di dalam hidupnya. Lelaki yang sejak dulu tidak pernah mengenal erti jemu. Saban hari cuba berbaik dengannya. Biarpun lelaki itu tidak pernah meluahkan apa yang tersirat di dalam hatinya secara terang-terangan, namun sebagai seorang gadis yang sudah dewasa.... gerak geri si lelaki , sikap ambil berat dan keperihatinannya sudah dapat diagak ke mana hala tujunya. Sofian... lelaki bermata bulat, berwajah bersih, berkumis tipis dengan tahi lalat di atas bibir. Sememangnya seorang lelaki yang kacak. Senyumannya mampu memikat mana-mana gadis yang memandang wajahnya. Hanya sekali pandang.. hati si gadis pasti tergugat tapi tidak bagi dirinya. Sofian cuma seorang sahabat. Sahabat yang dikenali ketika dia masih bergelar pelajar. Sahabat rapat.. tapi ya.. mungkin sudah menjadi lumrah. Apabila seorang lelaki dan perempuan menjadi akrab... maka pasti ada yang akan berkata. Mereka itu pasangan kekasih.
         Sofian pernah mengajak dia menyambung pelajaran. Dia hanya tersenyum, ajakan itu terpaksa ditolak. Dia punya tanggungjawab yang lebih besar. Masakan hendak dibebankan seorang abang yang sudah mengorbankan masa mudanya hanya untuk dua orang adik. Biar adiknya yang berjaya, memiliki segulung ijazah dan dia.. cukuplah apa yang ada.
          Emak, entah bagaimana keadaan emak sekarang ini, sudah beberapa hari dia tidak menghubungi wanita berhati waja itu. Terselit rasa rindu di sudut hatinya. Sihatkah emak ? Sudah berkurangkah luka di kakinya ? Luka yang enggan sembuh kerana penyakit kencing manis yang dihidapi.
         Lelaki, lelaki itu tidak pernah dilupakan. Biarpun dalam hati si lelaki tidak pernah wujud seorang gadis benama Dewi Karmila. Gadis yang tidak mungkin layak digandingkan dengan anak seorang hartawan yang terkenal di sekolah itu. Itulah playboy zaman sekolah dulu.. ketika dia masih bergelar pelajar sekolah. Masih mentah tapi sudah mula berjinak-jinak memainkan perasaannya pada seorang lelaki tapi kenapa lelaki itu. Lelaki playboy yang cukup murah dengan senyuman. Senyuman yang menggugat hati setiap gadis yang memandang. STSS, tempat mereka bertemu. Lelaki itu tidak mungkin sedar akan kehadirannya di sekolah itu, masih ramai gadis-gadis yang mampu menarik minatnya. Lelaki yang begitu hampir dengan dirinya, saban hari mereka bertemu, berbual dan bergurau dan perasaan itu semakin mekar di dalam hatinya. Tidak ada sesiapa pun yang tahu melainkan Rashidah. Tapi teman baiknya itu hanya tahu tentang seorang lelaki yang bertapak di hatinya... Cuma lelaki yang tidak punya nama.
         STSS sudah lama ditinggalkan namun nama lelaki itu tetap terpahat di hatinya. Biarpun senyumannya hanya dipandang sekilas oleh anak muda itu, peristiwa yang tidak disengajakan itu masih terpahat di kotak hatinya. Perasaan bersalah di wajah si muda tidak dapat disembunyikan. Setiap kali mata bertentangan, pandangannya segera dilarikan. Ada ketikanya dia merasakan si lelaki mengenali siapa gerangannya gadis itu. Ah... itu cuma perasaannya sahaja. Tidak mungkin si lelaki mengenali siapa gadis yang ditemuinya malam itu, malam yang meninggalkan secalit kenangan yang begitu kebal pengaruhnya. Kenangan ketika hujan lebat yang turun berjurus-jurus tanpa memberikan peluang pada dia untuk menyelamatkan diri
          “Kenapa kau tolak lamaran Pian ?”
         Soalan itu kembali menjadi miliknya. diajukan oleh seorang sahabat yang amat memahami perasaannya, namun persoalan itu juga yang menjadi tajuk perbualan.
          "Aku belum bersedia .”
         Lagi-lagi jawapan itu yang diberikan pada Rashidah. Apa lagi yang mampu diperkatakannya. Dia benar-benar tidak bersedia untuk menerima Sofian sebagai kekasih hatinya. Apa lagi untuk menjadi suaminya. Sudah berkali-kali dia berusaha untuk melupakan wajah si lelaki yang satu itu. Mahu digantikan dengan wajah seorang lelaki bernama Sofian tapi dia tidak berdaya. Wajah yang sudah bertahun-tahun terpahat di hatinya itu enggan beredar. Enggan berganjak walaupun seinci, lalu bagaimana dia hendak menerima kehadiran Sofian di dalam hidupnya lebih dari seorang sahabat.
         Tergeleng-geleng kepala Rashidah sambil menatap wajahnya. Dia hanya mampu tersenyum.. persoalan hati dan perasaan bukan boleh dipaksa. Andai ada yang berkata.. cinta zaman persekolahan, hanyalah cinta monyet. Cinta yang tidak harus dilayan, namun perasaan yang hadir di dalam dirinya untuk lelaki itu terlalu sukar untuk dikikis. Dia sedar, teramat-amat sedar, dia hanya bertepuk sebelah tangan. Lelaki itu bukan miliknya, masih ramai gadis-gadis di luar sana yang sepadan dengannya.
          “Dewi! Kau dengar tak ?”
          Wajah Rashidah dikerling sekilas, walapun terleka dengan igauan semalam, pertanyaan Rashidah masih singgah di telinganya.
          “Kesian aku tengok Pian. Bukan sehari dua dia menanti, mengharapkan kau tapi kau tak pernah nak layan dia.”
         Dewi tersenyum lagi, bukan baru sekali kata-kata itu dituturkan padanya, sudah terlalu banyak.. tidak terhitung bilangannya.
         “Pian cuma kawan aku Shida.”
         Jejarinya disentuh lembut.. itulah Rashidah, seorang sahabat yang setia. Sesetia Sofian yang masih mengharapkannya tapi sampai bila hendak dibiarkan lelaki itu terus mengharap. Sedangkan di hatinya hanya ada satu nama.. lelaki yang tidak pernah mempedulikan kehadirannya suatu ketika dulu, namun lelaki itu juga yang diperhatikannya saban waktu, dekat di hati, dekat di mata tapi sukar untuk dimiliki.
        Jangan diharap padi di seberang, entah masak entahkan tidak. Jangan diharap kasihnya orang, entahkan dapat entahkan tidak. Kata-kata itu sudah sebati dengan dirinya, cukup sebati.. namun terlalu sukar untuk dibuang nama lelaki itu dari ruang hatinya. Andai dia berjaya, tentunya Sofian yang menjadi pengganti... tapi usahanya tidak berhasil. Lelaki itu juga yang terpahat kukuh di hatinya.
        “Sampai bila kau nak mengharapkan dia ?”
         Bening mata Rashidah membuatkan dia terharu. Soalan itu juga tidak ada jawapannya. Entah sampai bila dia akan terus menanti, harapannya tidak ada sama sekali. Ada kalanya dia membenci diri sendiri... kenapa begitu sukar mengikis lelaki itu dari hatinya.
        “Syida! Aku tahu aku ini umpama malukut di tepi gantang, kalau dia sendirian sekali pun, dia tak akan pandang ke arah aku.”
        “Kau sendiri sedar tapi kenapa masih mengharapkan dia?”
         Dewi menggeleng perlahan.
        “Aku tak pernah mengharapkan dia .”
       “Okey, so kenapa tak nak terima Sofian ? Apa masaalahnya ? Jangan biarkan lelaki itu terus menanti. Jangan sampai dia berputus asa, aku takut dia akan cari yang lain.”
        Dewi masih tersenyum.
        “Biarlah.. dia berhak untuk memilih. Dia bukan milik aku... bukan kekasih aku.”
        “Dewi ! Kadang-kadang aku tak faham dengan diri kau. Terlalu menghambakan diri untuk lelaki tu.”
       “Jangan tersalah sangka Syida... aku tak pernah menghambakan diri untuk sesiapa. Aku cuma ada diri aku, walau apa pun anggapan orang lain pada aku, aku tetap aku.”
        “Suka hati kau lah, dah penat aku bercakap, dah penat aku berleter, hasilnya tak ada juga..”
        Jejarinya dilepaskan dari pegangan seorang sahabat. Dia masih tersenyum.. biarlah. Rashidah berhak membuat andaian sendiri. Tidak ada sesiapa yang tahu tentang malam itu, tentang malam ketika hujan lebat turun mencurah-curah ke bumi.
        “Aku nak balik.”
         Rashidah sudah bersedia untuk bangun.
         “Apa aku nak cakap pada Sofian ?”
         Ada keluhan yang dilepaskan.
         “Maafkan aku Syida.. kerana aku, kau yang susah.”
        Renungan seorang sahabat membuatkan diri terasa bersalah tapi apa dayanya. Belum pernah dia terfikir untuk menerima Sofian sebagai kekasih hati walaupun lelaki itu sentiasa mengharapkannya.
        “Syida !”
        Langkah Rashidah termati di situ, segera dia berpaling. Menghadap seorang sahabat yang dikenalinya ketika sama-sama menuntut di pusat pengajian itu. Kerana keakraban mereka, dia mengenali seorang lelaki tanpa nama.. yang dipuja oleh sahabatnya. Tidak pernah dia bertemu dengan si lelaki, tidak juga ada sebarang gambar yang pernah dilihatnya. Wujudkah lelaki pujaan sahabatnya atau cerita itu cuma dongengan untuk Dewi melepaskan diri dari buruan lelaki-lelaki yang ingin mendekatinya.
        “Kau senang dengan Sofian ?”
        “Apa maksud kau ?”
         “Sofian lelaki yang baik, kenapa tidak kau saja yang terima dia.”
         Ada rengusan yang kedengaran, jauh perginya menungan Rashidah walaupun cuma seketika.
        “Kalau dia pilih aku, sudah tentu aku terima. Aku kenal dia... belum pernah aku temui lelaki sebaik itu, sanggup menanti seorang gadis yang tidak pernah punya perasaan padanya.”
         Wajah Rashidah keruh tidak bercahaya namun Dewi masih mampu mengukir senyuman. Sinis tutur seorang sahabat namun masih mampu diterima akal dan fikiran. Itulah dia.. gadis yang dimaksudkan olah Rashidah, dia tak punya perasaan pada sesiapa tapi pada si lelaki, dia sendiri tak mengerti. Bukannya tidak pernah dicuba melupakan lelaki itu. Usahanya tidak pernah berhasil...solat hajat, solat istikharah, semuanya sudah dibuat. Lagi-lagi wajah itu juga yang ditemuinya. Apalah dayanya... katalah apa saja wahai sahabat, aku sedia menerima.
        “Aku balik dulu.”
         Dewi masih dengan senyumannya.
        “Sampaikan salam aku pada Pian. Cakap pada Pian, jangan tunggu aku.”
        Tiada senyuman di wajah Rashidah, tiada juga peluk cium dari seorang sahabat. Terlukakah hati Rashidah, sebagaimana lukanya hati Sofian kerana hajat hatinya ditolak juga akhirnya tapi luka di hatinya di mana penawarnya. Siapa yang ambil peduli kerana dia sendiri tidak tahu di mana hendak dicari penawarnya.